LEPAK JAP AND TENANGKAN MINDA

Friday, March 5, 2010

KISAH IKTIBAR


SATU kisah menarik berlaku pada zaman hayat Rasulullah s.a.w.
Seorang sahabat bernama Thauban amat mengasihi baginda s.a.w., selalu berdampingan dengan baginda s.a.w.. Pada satu malam beliau tidak dapat tidur. Ini disebabkan mengenangkan beliau terhalang daripada terus-menerus bersama Nabi s.a.w.

"Ya, ketika di dunia ini aku terpaksa berpisah daripada Rasulullah s.a.w. khususnya pada malam hari. Maka bagaimana di akhirat kelak?"

Bisik hati Thauban seorang diri.

"Kalau aku di syurga, Rasulullah s.a.w. tentu di tingkat yang paling istimewa dan aku di tingkat lain. Dan jika aku di neraka, sudah tentu tidak bertemu langsung dengan Nabi s.a.w."


Kerana mengingatkan hal demikian, menyebabkan Thauban tidak dapat tidur sepanjang-panjang malam. Pada keesokan hari menjelang waktu Subuh, Thauban ke masjid. Beliau solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Selesai solat seperti kebiasaannya, baginda s.a.w. menghadap para sahabat (makmum). Demi terpandang wajah Thau­ban yang kedua-dua biji mata beliau kemerah-merahan, baginda s.a.w. pun memanggilnya ke hadapan.

"Kamu sakit, wahai Thauban?" Bertanya Rasulullah s.a.w. kepadanya.

"Tidak, wahai Rasulullah,"jawab Thauban

"Kenapa kedua-dua matamu merah?" tanya Nabi s.a.w.

Thauban pun menceritakan apa yang sudah berlaku pada malam tadi. Ketika itu Rasulullah diam. Tidak berkata apa-apa, kerana syurga bukan milik Nabi dan baginda s.a.w. tidak dapat memberi jawapan yang pasti.

Pada saat itulah Allah S.W.T. menurunkan ayat 69 Surah al-Nisa' maksudnya:

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan disamakan dengan orang-orang yang telah dikumiakan nikmat oleh Allah kepada mereka, yang terdiri daripada Nabi-Nabi, para para syuhada' dan para solihin. Dan betapa eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat itu)."


Kemudian, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sungguh dia telah mencintai aku, dan sesiapa yang mencintai aku, nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga," (Riwayat al-Sajari daripada Anas).