LEPAK JAP AND TENANGKAN MINDA

Saturday, July 4, 2009



Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan solat suka saya senaraikan di sini beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh umat Islam dalam ibadah. Kesalahan tersebut walaupun yang tidak disengajakan, kalau tidak diperbetulkan akan menjadi kebiasaan yang sukar dibetulkan semula.
Oleh sebab itu perhatikan senarai kesalahan berikut:

Sebelum solat - dalam azan muazzin atau lebih dikenali sebagai bilal, mereka melakukan dua kesalahan secara tidak sedar. Walaupun tidak sedar, lafaz azan itu sudah tidak memberi makna dan maksud yang sebenar.

1. " Asy-hadu an la ilaha illah" - mungkin kerana mereka membacanya berdasarkan huruf rumi maka dibunyikan "Asyhadu" dengan assyadu.
Perkataan ini tidak memberi apa-apa makna dan tidak menepati lafaz syahadah yang wajib dibaca.

2. "Lailaha illallah" dipanjangkan "ha" pada perkataan "ilaha" menjadi ilahaa.
Perkataan ini juga tidak memberi apa-apa makna. Jadi, semua bilal dan orang yang hendak mengalunkan azan, eloklah membuat latihan menyebutnya agar tidak terus tersilap.
Ingatlah azan mengajak orang ramai kepada solat, tetapi kalau tersalah sebut, panggilan itu tidak dinilai oleh Allah.

Selain itu suka diingatkan juga bahawa, waktu untuk azan adalah ditentukan oleh muazzin manakala untuk melakukan solat hendaklah ditentukan oleh imam. Maka dalam hal ini bilal perlu memastikan iman bersedia dan mendapat keizinannya.


Waktu solat - terdapat beberapa orang susah hendak masuk niat untuk memulakan solat. Kadang-kadang dia terpaksa mengangkat takbir berkali-kali untuk membolehkan niatnya masuk pada waktu itu.
Sikap atau tabiat itu menjadi sebab terlambatnya dia mengikut imam. Padahal niat adalah kerja hati yang datangnya bagaikan angin lalu sahaja, tidak perlu mengambi masa yang panjang.

Mengikut hukum fiqah, apabila seseorang itu mengangkat takbir dengan niat yang betul,
takbir dan niat itu sudah diterima. Maka kalau dia mengulangi kali kedua, maka takbir kedua itu menyebabkan solatnya terbatal. Jadi, apabila dia meneruskan solat dengan takbir itu, solatnya tidak dikira oleh Allah. Oleh sebab itu dia perlu ulangi takbir dan niat baru, yang ketiga.

Selain itu takbiratul ihram iaitu dengan menyebut "Allahu Akbar". Lazim yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah mereka memanjangkan "baar" pada perkataan akbar.
Dengan memanjangkan "akbar" itu tidak lagi memberi makna "Allah Maha Besar".
Jadi berhati-hati menyebutnya.

Seterusnya dalam membaca surah al-fatihah, mereka terlalu sangat hendak membetulkan sebutan makhraj sehingga jadi berlebih-lebihan.
Antaranya ialah membaca "alhamdulillah" ditekankan bacaan pada alham sehingga berbunyi seperti alkham atau alhom.
Ini juga telah merosakkan makna al-Fatihah yang asal.


Semasa iktidal juga terdapat kesilapan menyebut pada membaca "samiallahu liman hamidah". Selalu juga kita dengar sesetengah orang membaca dengan memanjangkan bacaan haamidah.
Dengan memanjangkan perkataan pada "ha" memberi erti wanita yang memuji - isim fail muannas. Padahal yang asalnya "hamidah" ialah feil madhi yang memberi erti memuji-Nya.

Panduan ini penting untuk diamati supaya solat yang dikerjakan setiap hari dinilai oleh Allah dengan sebaiknya.

Serba sedikit yang dapat dikongsi bersama buat masa ini semoga solat kita hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam
- Wallahu a'lam -




1 comments:

Anonymous said...

berguna...sangat berguna...