LEPAK JAP AND TENANGKAN MINDA

Wednesday, July 7, 2010

RASULULLAH YANG UMMI

Ummi.... pengertian yang sekadar kita memahami sebagai tidak tahu membaca dan menulis (buta huruf). Dan ia terus difahami sebegitu sejak kita diperkenalkan bahawa Nabi Muhammad yang kita kasihi itu Ummi.

Lalu Ummi juga dijadikan alasan sebagai mengukuhkan bahawa agama yang dibawa Rasulullah itu benar kerana mana mungkin Rasulullah yang ummi mampu menghasilkan agama sendiri.

Rendahnya kita meletakkan Rasulullah SAW dengan pengertian ummi yang sebetulnya diri kita tidak mengerti makna sebenarnya. Kita menafsirnya dari hal bahasa tanpa melihat disebalik sesuatu yang sebenarnya sangat tingginya kelebihan ummi yang dimiliki oleh Rasulullah SAW.

Lihatlah respon Rasulullah ketika Baginda menerima wahyu yang pertama. Ketika Jibril meminta Baginda untuk membaca (Iqra), baginda berkata "aku tidak tahu".

Apakah yang kita fahami di sini "tidak tahu" itu sebagai ummi kerana Rasulullah SAW tidak tahu membaca? Kita meletakkan Rasulullah jauh rendahnya tanpa kita sedari.

Kita melihat kerendahan Rasulullah SAW tanpa kita sedari di dalam peristiwa wahyu pertama ini. Jawapan "aku tidak tahu" difahami kerana Rasulullah itu Ummi... sebab itu Baginda tidak tahu membaca setelah diminta oleh Jibril untuk membaca.

Sebenarnya yang kita tidak sedari adalah sejak wahyu pertama lagi Rasulullah SAW memberikan contoh kepada kita kelakuan yang sewajibnya kita ada di dalam hidup atas rahmat Allah SWT.

Jawapan "aku tidak tahu" jelas merupakan penyerahan total baginda Rasulullah SAW pada Allah SWT. Baginda berkata "aku tidak tahu" kerana Baginda hanya mengikut kehendak Allah SWT. Mengikut apa mauNya Allah.

Sikap ini adalah sikap dasar yang harus dimiliki oleh seseorang yang tidak tahu kemudian ingin tahu. Sikap seorang anak murid kepada guru. Sikap seorang hamba kepada khaliqnya.

Kerana inilah modal yang kita miliki...yang kita punyai. MODAL TIDAK TAHU.
Dengan sikap dan pengakuan seperti ini (tidak tahu) kepada Allah SWT, kita akan dituntun menjadi sedar penuh kepada Allah SWT oleh Allah SWT sendiri.

Apabila kita sudah sedar penuh pada Allah, maka kita akan mudah, rela senang hati akan ikut segala kehendak Allah SWT.
Setelah kita senang mengikut kehendak Allah SWT maka Allah SWT akan menuntun kita daripada satu keadaan ke keadaan yang lain, dari satu suasana ke suasana yang lain dan dari satu pengetahuan ke pengetahuan yang lain.

Bukankah tuntunan Allah SWT ini yang kita selalu mohon dalam setiap solat kita? "KepadaMulah kami sembah dan kepadaMulah kami minta pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus".

Inilah ketinggian umminya Rasulullah SAW di dalam hidup berTuhan seorang hamba Allah SWT yang paling dikasihi Allah SWT yang selalu kita perendahkan tanpa sedar dengan memahami bahawa ummi itu menunjukkan Rasulullah SAW tidak tahu membaca dan menulis.

Rasulullah SAW hanya mampu melakukan segala tugas hanyalah dengan Nama Allah SWT...mengatas nama Allah SWT. Kerana itu Rasulullah SAW mampu membaca setelah Jibril mengajarkan Baginda "Bacalah dengan nama Tuhanmu". Jika tiada dengan nama Tuhanmu, Rasulullah SAW memberi jawapan tetap sama iaitu "Aku tidak tahu".

Semoga pencerahan ini membuatkan kita tersedar bahawa umminya Rasulullah bukanlah sesuatu yang rendah martabatnya. Ia merupakan satu kesedaran yang seharusnya dicontohi bahawa kita ini tidak tahu apa-apa melainkan atas kehendakNya Allah SWT.

Semoga kita sentiasa sedar yang kita ini memerlukan Allah SWT di dalam menuntun hidup kita ini di dalam hidup berTuhan. Ikut atas kehendakNya.

Semoga ada manafaat daripada artikel ini. Amin.

0 comments: