LEPAK JAP AND TENANGKAN MINDA

Monday, June 21, 2010

Menyesal tak datang di awal......


Marilah sejenak menundukkan hati kita, menundukkan kepala kita. Marilah kita sama-sama mengenangkan orang yang paling berjasa kepada diri kita. Orang yang kini usianya kian tua, kian tak bermaya. Munculkanlah wajah kedua ibu
bapa kita. Biar kita benar-benar berasa mereka ada dekat dengan kita.

Ingatlah dulu ketika kita berada 9 bulan dalam perut ibu ketika ibu masih muda. Walaupun berjalan berat… susah berbaring… berdiri pun sakit… ibu tetap tersenyum setiap kali membelai perutnya. Bahagia kita berada di rahimnya.

Ayah semangat ke sana sini mencari nafkah untuk kita yang bakal lahir.
Sembilan bulan di rahim ibu… menjelang kita lahir ke dunia… ibu sakit tak terperi. Tidak tahu samada akan hidup atau mati. Meregang nyawa. Bersimbah air mata. Keringat… darah. Itulah saat kita lahir ke dunia.

Tetapi tidak ada keluhan. Walaupun sakit dan hampir mempertaruhkan nyawanya. Didekatnya diri kita… dipeluk… diciumi… dihitung jari-jari kita. Penuh cinta. Siang malam dijaga. Rela ibu tidak makan asal kita makan. Ingatlah ketika ibu sedang makan, kita membuang kotoran… tidak jijik. Kalau kita sakit, ibu resah… sepanjang malam tidak tidur. Rela menukarkan nyawanya agar kita panjang umur. Ayah mencari nafkah agar kita mampu ke sekolah. Ke sana sini berusaha keras agar kita memiliki kasut… agar kita memiliki beg… seperti anak-anak yang lain. Walaupun orang tua kita banyak dosa… tetapi tetap ingin kita selamat. Semakin lama kita semakin besar. Apa yang kita lakukan untuk menggembirakan hatinya?

Mulut kita seperti pisau yang sentiasa menghiris hatinya. Bulat mata…terjegil kita merenung mereka setiap kali berbicara. Kekadang menghentak lantai dan dinding memarahi mereka.
Ada yang menganggap ibunya sebagai pembantu sahaja. Di arah ke sana sini. Ada yang menganggap ayah seperti kuli. Dibohongi… didustakan.

Berapa belas dan puluh tahun kita menzalimi ibu bapa kita. Akan datang sampai saat kita berpisah… kenanglah ketika ibu bapa sudah terbaring menjadi mayat.

Kenangkanlah orang yang mengandung kita sudah terbujur kaku. Matanya sudah tertutup. Kulitnya berkedut.. kerepot. Tubuhnya sudah dingin membeku. Kita tidak lagi mendengar suaranya. Tidak lagi mendengar doa doanya.

Ketika kain kapan menutup tubuhnya… kita tidak lagi mampu mencium tangannya…tidak lagi mampu membawa ole-ole kesukaannya. Tidak ada lagi orang yang selama ini berkorban lahir dan batin untuk kita. Ketika orang tua kita sudah dimasukkan ke dalam kubur… hanya tinggal batu nisan yang mampu kita lihat.

Kita tidak tahu…adakah orang tua kita bangga atau kecewa melahirkan diri kita.
Ada air susu yang dibalas dengan air tuba. Belaian dibalas dengan herdikan… pengorbanan dibalas dengan penghinaan. Ada yang menghina ibu bapanya. Jarang ingin berbicara dengannya dengan lembut. Anak derhaka…di dunia ini pasti dibalas oleh Allah.
Jangan-jangan kita sengsara adalah disebabkan derhaka kepada ibu bapa. Hati-hatilah…jangan sampai hidup kita sengsara sepanjang hayat.
Bertekadlah untuk menjadi anak yang tahu berbakti… yang taat… yang
membalas jasa. MENYESAL TIDAK PERNAH DATANG DI AWAL.

Wahai saudaraku.
Jadikanlah keberadaan kita di sini menjadi kebanggaan ibu bapa. Tidak ada orang tua yang sempurna. Tetapi relakah melihat orang tua kita sengsara? Dikubur tersiksa….di akhirat menjadi ahli neraka (nauzubillah).

Beristighfarlah…. beristighfarlah… Astaghfirullah al adzhim… sambil ingat dosa kita pada orang tua. Istighfarlah saudara.. Astaghfirullah al adzhim… minta ampun kepada Allah…
kenangkan kezaliman kita pada orang tua … sambil beristighfar… Astaghfirullah al adzhim…

Tuesday, June 1, 2010

Berlajarlah untuk berkata CUKUP....ALHAMDULIL-LAH ....."

Seringkali kita meminta perkara yang macam2 seolah2 itulah yang terbaik untuk kita. Persoalannya, tahukah kita apa yang terbaik untuk kita? Kalau kita dilahirkan miskin,
kita sering berdoa untuk menjadi kaya. Hendak mengubah kehidupan, kita kata.
Tapi kita pastikah kekayaan itu yang terbaik untuk kita? Atau kita dilahirkan pendek,
atau terlalu tinggi, atau hitam atau berpenyakit.Tentunya kita mengharap2kan keajaiban untuk menjadi manusia yang sempurna atau sekurang2nya 'just nice'.
Mungkin juga kita terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan orang yang tersayang.
Pasti tercalit dalam hati keinginan untuk mengembalikan masa itu supaya kemalangan itu dapat dielakkan dan nyawa orang kesayangan kita juga selamat.kan ?
Persoalannya, adakah apa yang kita perolehi sekarang ini bukan yang terbaik?
Adakah Allah itu zalim atau pilih kasih dengan memberi sesetengah orang nikmat manakala setengah lagi azab?
Bukankah Allah itu Maha Adil?
Bukankah Allah itu Maha Mengetahui?
Bukankah Allah itu Maha Bijaksana?
Jika begitu, mengapakah ada sesetengah dari kita yang bernasib malang manakala sesetengah yang lain bernasib baik sepanjang hidup mereka?
Sebenarnya, kita adalah apa yang kita minta (we are what we wish for).
Kadangkala tatkala kita berdoa, kita sendiri kurang faham dengan apa yang kita minta.
Ada orang berdoa minta selamat. Akan tetapi Allah berikan dia dari sihat jatuh sakit.
Dari kaya jatuh miskin. Dari jelita jadi huduh. Bagaimana itu?
Itu hanyalah sebagai ujian kesabarannya. Seandainya imannya tetap kuat,
insyaAllah dia akan selamat di akhirat kelak. Selamat juga, bukan?
Adakah Allah menolak permintaannya? Tidak! Bahkan Allah meletakkannya ke tempat yang lebih tinggi. Maha Suci Allah...Apabila Allah menentukan sesuatu ke atas kita,
percayalah itu adalah yang terbaik. Hanya mata kita yang diseliputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian.
Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah?
'Grass is always greener on the other side'. Kan?
Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu lebih baik dari apa yang kita miliki. Sedang Nabi saw telah menasihatkan agar kita melihat orang yang di bawah.
Jangan melihat orang lebih tinggi kerana itu akan membuat kita tidak bersyukur.Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar peluang yang lebih baik.
Nafsu itu adalah benda yang paling besar! Cukuplah sebanyak yang Allah beri.
Sekiranya diberi lebih, Alhamdulillah. Sekiranya semakin kurang, semoga Allah perkuatkan iman saya menghadapi dugaan mendatang. Yang penting bagi saya, apa yang saya perolehi ini halal dan diberkati. Pesan Nabi saw kepada Saiyidina Ali ra supaya jangan mengira2 rezeki untuk hari esok kerana Allah menurunkan rezeki pada tiap2 hari .
Ini benar2 terkesan dalam hati saya.Tapi bukan bererti kita tak boleh mengejar yang lebih baik. Kejarlah dunia seperti akan hidup 1000 tahun lagi. Tapi dunia itu ibarat bayang2.
Makin dikejar makin ia lari. Kejarlah akhirat seperti akan mati esok hari. Kerana akhirat itu umpama matahari. Makin kita kejar akhirat (matahari), dunia (bayang2) akan mengejar kita. Rezeki itu hak Allah maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu. Kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada izin dariNya. Bukan niat saya nak mengajar. Bukan juga nak menunjuk pandai. Saya hanya mengajak saudara2 sekalian terutamanya diri saya sendiri untuk berfikir. Apa yang kita buru? Apa yang kita cari? Apa yang kita dapat? Berapa kali pernah kita bersyukur dan berapa kali pernah kita katakan cukup?Cukup atau tidak apa yang kita ada, bergantung kepada cukup atau tidak kita bersyukur ke hadrat Allah. Juga bergantung cukup atau tidak kita tambat nafsu kita. Yang penting tiap kali selepas solat, berdoalah pohonkan Allah berikan yang terbaik buat kita. Nabi saw pernah memberitahu, orang yang tidak berdoa selepas solat adalah orang yang sombong. Dalam hadith yang lain, Baginda saw berkata orang yang sombong adalah syirik kerana hanya Allah yang layak untuk bersifat sombong.

Wallahu'alam.-..

Ya Allah! Ampunkanlah kami ya Allah. Selama ini kami leka. Selama ini kami lalai dalam mengejar nikmat dunia hingga kami lupa janji nikmat syurga Mu.
Cukupkanlah kami dengan apa yang Kau beri.
Dan jadikanlah kami insan yang tahu bersyukur.

Amin... Ya Rabbal 'Alamin...

Thursday, May 20, 2010

Gadis Kota tak boleh ditegur

Umat Islam di seluruh dunia ialah seramai 2 billion orang, nisbah 1 dari 4 orang penduduk di dunia.
Malangnya kita tidak bersatu menjadikan kita menjadi alat tunggangan orang Barat/Yahudi sahaja.
Kita umpama dikawal dengan remote control.
Mereka yang mengawal ekonomi, budaya dan peradaban manusia sekarang ni.
Kita? follow jer… ok aku nak ko lady gaga – kita pun lady gaga.
Aku nak ko pakai fesyen ni , kita pun ikut.
Trendy la kononnya tu.
Aku nak ko bangun malam – kita pun bangun malam tetapi bukan kerana nak solat malam tetapi nak tengok EPL – tak lama lagi world cup.
Aku nak ko layan FB – kita pun sampai ketagih FB.
Bayangkan jika kita seramai 2 billion ni bangun serentak, kemudian dengan masa yang sama mengikut waktu masing-masing tapi tetap masa yang sama jerit serentak “ALLAH HUAKBAR!!!!!”
Mau gegak gempita, gerun musuh kita dan silap-silap boleh runtuh bangunan dibuatnya.
Tapi tulah malangnya kita tak bersatu.
Dalam negara kita pun tak bersatu apa lagi nak satukan sedunia.
Kita ibarat buih-buih di lautan. Namun apa yang telah termaktub dalam Al-Quran sebelum qiamat nanti, Muslimin Islam akan menang, akan muncul Nabi Isa Al-Masih yang akan memimpin dunia Islam.
Lagi satu ceramah Ustaz Firdaus berkenaan dengan wanita berpakaian sexy.
Wanita berpakaian sexy kerana lelaki. Mereka berpakaian begitu kerana kaum lelaki suka tengok. Kaum lelaki tidak mencegahnya kerana suka cuci mata. Tak tau nanti mata kena cuci kat Akhirat besok. Cuba lelaki pakat-pakat tidak suka dengan perempuan pakaian sexy. Kalau jumpa jer perempuan berpakaian sexy pakat tengking.. “Balik!!!!! pakai pakaian sopan sikit!”. Kalau tak semua pun, 50% jer lelaki buat camni, pasti perempuan pun tak berani nak pakai sexy lagi. Ni tidak, siap ngurat lagi, sambil menjeling … mana tak perempuan tu makin getik.
Cakap memang mudah kan tapi nak praktikkannya yang payah. Ada seorang rakan blalang_group yang imannya tak setipis bawang berani menegur gadis kota jirannya yang berpakaian sexy. Kalau senipis kulit bawang hanya dalam hati jer. Lihat luahan hati beliau yang bertajuk Gadis Kota x boleh ditegur.
Aku nak berkongsi satu sketsa kehidupan yang berlaku di Ibu Kota KL nie. Ia berlaku kepada aku sendiri semalam pas balik dr keja. Lepas g amik anak aku kt umah jiran (mengasuh); aku pun berjalan balik. Kebetulan time yg sama ada sorang makwe yang cun, putih gebu kulitnya, galak matanya, panjang keperangan rambutnya berjalan bertentangan dihadapan aku. Tambahan pulak makwe tu hanya mengenakan ‘tube’ dipadankan dengan jeans ketat pada badannya. Lantaran berpakaian sebegitu telah menampakkan dengan jelas dadanya yg gebu lagi cantik tu. Sebagai seorang lelaki, mungkin sikit sangat yg dapat menahan godaan sebegini. Rezeki di depan mata pasti x dilepaskan. Tapi bukan itu yg nak aku ceritakan. Aku yg bukan seorang ustaz nie & yg x la berapa alim nie macam mana tah gatal mulut petang tu…aku tegur makwe nie. “Tutup la sikit dada tu….nampak jelas sangat!” Bukan apa, sebab aku nampak kt situ ramai orang lalu lalang, dengan budak balik sekolahnyer. ..orang2 tua yg dok bersembang tepi2 warong…malu la sikit! Lantas aku disergah. “Apa ko cakap?…yg ko sebok apsal?…aku punya pasal la….kau kau…aku aku!”. Korang x kecut perut ker makwe yg kita sangka lembut tu boleh sergah lelaki yg lebih tua dari dia? Aku pun cuba slow talk dengan dia…Adik.. .jgn la pkai cam tu…malu la kat orang…Pada kali nie aku ditengking yang aku rasa ramai jiran2 yg dengar…”Aku punya suka la apa aku nak pakai. Ko jgn carik pasal…ko baru jer duduk kat sini, aku dh lama kat sini….jgn carik pasal!” Aku terus blah…bukan aku takut…tp aku malu kt jiran2…ye la bising2 cam tu…mesti diorang ingat gaduh ker mende ker…Persoalan aku kepada rakan2 sekalian….
1) mana pergi lemah lembut wanita Melayu sekarang nie?…
2) kenapa hilang adap sopan kita….
3) kenapa berasa bangga berpakaian begitu?
4) Mak bapak x marah ker anak dara diorang berpakaian sebegitu?
5) dan yang jawapan yg paling aku nak dengar dari kawan2 (terutamanya perempuan2 Melayu)

….kenapa dah TAK BOLEH TEGUR KORANG NIE? Hidup ini singkat, mari kita saling berpesan! Jadilah masyarakat yg prihatin. Sayangilah keluarga & orang2 d sekeliling kita.....

Friday, March 5, 2010

KISAH IKTIBAR


SATU kisah menarik berlaku pada zaman hayat Rasulullah s.a.w.
Seorang sahabat bernama Thauban amat mengasihi baginda s.a.w., selalu berdampingan dengan baginda s.a.w.. Pada satu malam beliau tidak dapat tidur. Ini disebabkan mengenangkan beliau terhalang daripada terus-menerus bersama Nabi s.a.w.

"Ya, ketika di dunia ini aku terpaksa berpisah daripada Rasulullah s.a.w. khususnya pada malam hari. Maka bagaimana di akhirat kelak?"

Bisik hati Thauban seorang diri.

"Kalau aku di syurga, Rasulullah s.a.w. tentu di tingkat yang paling istimewa dan aku di tingkat lain. Dan jika aku di neraka, sudah tentu tidak bertemu langsung dengan Nabi s.a.w."


Kerana mengingatkan hal demikian, menyebabkan Thauban tidak dapat tidur sepanjang-panjang malam. Pada keesokan hari menjelang waktu Subuh, Thauban ke masjid. Beliau solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Selesai solat seperti kebiasaannya, baginda s.a.w. menghadap para sahabat (makmum). Demi terpandang wajah Thau­ban yang kedua-dua biji mata beliau kemerah-merahan, baginda s.a.w. pun memanggilnya ke hadapan.

"Kamu sakit, wahai Thauban?" Bertanya Rasulullah s.a.w. kepadanya.

"Tidak, wahai Rasulullah,"jawab Thauban

"Kenapa kedua-dua matamu merah?" tanya Nabi s.a.w.

Thauban pun menceritakan apa yang sudah berlaku pada malam tadi. Ketika itu Rasulullah diam. Tidak berkata apa-apa, kerana syurga bukan milik Nabi dan baginda s.a.w. tidak dapat memberi jawapan yang pasti.

Pada saat itulah Allah S.W.T. menurunkan ayat 69 Surah al-Nisa' maksudnya:

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan disamakan dengan orang-orang yang telah dikumiakan nikmat oleh Allah kepada mereka, yang terdiri daripada Nabi-Nabi, para para syuhada' dan para solihin. Dan betapa eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat itu)."


Kemudian, Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sungguh dia telah mencintai aku, dan sesiapa yang mencintai aku, nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga," (Riwayat al-Sajari daripada Anas).

Thursday, December 31, 2009

Saat Diciptakan lelaki..........seorang ayah....

Saat diciptakan lelaki, Dia membuatnya sebagai pemimpin keluarga serta sebagai tiang penyangga dari bangunan keluarganya... dia sentiasa akan berusaha untuk menahan setiap hujungnya agar keluarganya merasa aman, teduh dan terlindung.
Diciptakan bahunya yang kuat dan berotot untuk membanting tulang menghidupi seluruh keluarganya dan kegagahannya harus cukup kuat pula untuk melindungi seluruh keluarganya.
Diberikan kemahuan padanya agar selalu berusaha mencari sesuap nasi yang berasal dari titisan keringatnya sendiri yang halal dan bersih agar keluarganya tidak terlantar kelaparan...walaupun seringkali mendapat cercaan dari anak-anaknya.....
Diberikan keperkasaan dan mental baja yang akan membuat dirinya pantang menyerah... demi keluarganya dia rela kulitnya tersengat panasnya matahari...demi keluarganya dia rela berbasah kuyup kedinginan dan kesejukan kerana tersiram hujan dan hembusan angin...dia relakan tenaga perkasanya dicurahkan demi keluarganya dan yang selalu dia ingat adalah disaat semua orang menanti kedatangannya dengan mengharapkan hasil dari jerih payahnya.....
Diberikan kesabaran,kesungguhan dan ketekunan yang akan membuat dirinya selalu berusaha merawat dan membimbing keluarganya tanpa ada keluh kesah, walaupun disetiap perjalanan hidupnya keletihan dan kesakitan kerapkali menyerangnya....
Diberikan perasaan cekal dan gigih untuk berusaha berjuang demi mencintai dan mengasihi keluarganya didalam suasana dan situasi apapun jua....walaupun tidaklah jarang anak-anaknya melukai perasaannya...melukai hatinya...padahal perasaannya itu pula telah memberikan perlindungan rasa aman pada saat dimana anak-anaknya tertidur lelap...serta sentuhan perasaannya itulah yang memberikan ketenangan bila saat dia sedang menepuk-nepuk bahu anak-anaknya agar selalu saling menyayangi dan saling mengasihi sesama saudara....
Diberikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengertian dan kesedaran kepada anak-anaknya tentang saat kini dan saat mendatang.....walaupun seringkali ditentang bahkan diperkotak-katikkan oleh anak-anaknya....
Diberikan kebijaksanaan dan kemampuan padanya untuk memberikan pengetahuan dan menyedarkan bahawa isteri yang baik adalah isteri yang setia terhadap suaminya....isteri yang baik adalah isteri yang sentiasa menemani dan bersama-sama menghadapi perjalanan hidup baik suka mahupun duka.....walaupun seringkali kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada isteri agar tetap berdiri, bertahan, sepadan dan saling melengkapi serta saling menyayangi......
Diberikan kerutan diwajahnya agar menjadi bukti bahawa lelaki itu sentiasa berusaha sekuat daya fikirnya untuk mencari dan menemukan cara agar keluarganya dapat hidup didalam keluarga bahagia dan badannya yang terbongkok agar dapat membuktikan bahawa sebagai lelaki yang bertanggungjawab terhadap seluruh keluarganya.....sentiasa berusaha mencurahkan sekuat tenaga serta segenap perasaannya...kekuatannya...kesungguhannya demi kelanjutan hidup keluarganya........
Diberikan pada lelaki bertanggungjawab penuh sebagai pemimpin keluarga...sebagai tiang penyangga(sokongan) agar dapat dipergunakan dengan sebaik-baiknya......dan hanya inilah kelebihan yang dimiliki oleh lelaki......
walaupun sebenarnya tanggungjawab ini adalah amanah di dunia dan di akhirat.............

Friday, December 25, 2009

Saat Diciptakan wanita.........seorang ibu.....














Saat diciptakan wanita, DIA membuatnya menjadi sangat utama....
Diciptakan bahunya... agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya walaupun juga bahu itu harus cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tertidur...
Diberikan wanita kekuatan untuk dapat melahirkan bayi dari rahimnya walau kerap berulang kali menerima cerca dari si bayi itu apabila dia telah membesar....
Diberikan wanita keperkasaan yang akan membuatnya tetap bertahan dan pantang menyerah saat semua orang sudah berputus asa...
Diberikan wanita kesabaran jiwa untuk merawat keluarganya walau dia sendiri letih, walau sakit, walau penat tanpa berkeluh kesah...

Diberikan wanita perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai kesemua anaknya dalam apa jua keadan dan situasi....walau acapkali anak-anaknya itu melukai perasaan dan hatinya...
Perasaan ini pula akan memberikan kehangatan pada anak-anak yang mengantuk menahan lelap...sentuhan inilah yang akan memberikan ke nyamanan saat didakap dengan lembut olehnya....

Diberikan kepadanya kebijaksanaan dan kemampuan untuk memberikan pengertian dan menyedarkan bahawa suami yang baik adalah yang tidak pernah melukai isterinya...walaupun seringkali pula kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap berdiri sejajar, saling melengkapi dan saling menyayangi....

Dan akhirnya diberikan wanita AIRMATA....
agar dapat mencurahkan perasaannya...inilah yang khusus kepada wanita, agar dapat dia gunakan bila-bila masapun dia inginkan...ini bukanlah kelemahan bagi wanita kerana sebenarnya airmata ini adalah

AIRMATA KEHIDUPAN...........

Monday, August 17, 2009

Dia, setiap hari ada pada diri kita tapi kita tak nampak Dia

BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali.. Andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhatikan oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meski pun mata manusia hanya mampu melihat benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.

Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggapkematian itu adalah suatu tabie biasa sebagai pendapat golongan athies, dan tidak kurang pula yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang zahir sahaja. Dia mengambil logik, bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebakaran dan juga kemalangan samada diudara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu, mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang tersebut di atas. Jika berlaku kematian dikalangan mereka, lantas mereka bertanya, sebab apa si fulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?.

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal-pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak akan tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimana pun, ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi satu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang yang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingati mati, untuk itu dia akan menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi orang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang-orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa berwaspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan meraka, jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak memberi amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika ada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan terjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu, Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah SWT iaitu para Rasul, nabi-nabi, wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu juga, malaikat maut mengadu kepada tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam a.s, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak-saudara dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai-bagai sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam a.s sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlakunya kematian, mereka akan berkata bahawa si pulan itu mati kerana mengidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu, Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimana pun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu samada bersebab ataupun tidak, sebagai mana yang dinyatakan pada awal tulisan ini bahawa ada ketikanya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak-ketawa, hingga malaikat maut berasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit atau pun ketika sihat dan segar-bugar.

Firman Allah Taala yang bermaksud :
Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat ( pula ) mempercepatkannya.

Saturday, July 11, 2009

Petua untuk menarik hidayah.......

  • Solat berjemaah
  • Makan bersama
  • Baca Al-Quran setiap hari
  • Suka menerima tetamu
  • Sebarkan salam

  • Sentiasa bermaafan
  • Suami isteri yang berkasih sayang
  • Sedekah/zakat
  • Selalu solat taubat dan sentiasa istighfar
  • Bersihkan rumah daripada perkara khurafat

13 KAEDAH MENDIDIK ANAK

  • Pesanan dan arahan dengan hikmah setiap hari
  • Bercerita cerita yang mengandungi nasihat dan iktibar
  • Soal-jawab dengan anak mengenai berbagai kegiatan harian
  • Rujuk kepada pengalaman lalu sebagai teladan dan sempadan
  • Nasihat dan teguran sekali sekala mengikut keperluan
  • Bermain-main dan bergurau
  • Mendidik anak secara amali dan latihan
  • Amalan ibubapa sebagai contoh dan teladan
  • Galakkan(80%) dan Amaran(20%)
  • Suruhan dan gesaan untuk elakkan anak bertangguh-tangguh
  • Ambil berat kebajikan anak
  • Gunakan firasat dan gelombang minda untuk memahami anak dan memberi nasihat dan galakan
  • Doa yang berterusan.....

FORMULA 20S - MEMBENTUK SUASANA KELUARGA YANG HARMONI

Solat
Senyum
Sayang menyayangi
Sabar
Sangka baik
Salam
Sampaikan (perkara yang baik atau berita yang baik).
Stail (kemas dan cantik)
Seronok
Sistematik
Sendagurau
Siuman
Saling menyaling (bertolak ansur)
Salin kulit (sentiasa berubah secara positif)
Simpati
Syukur
Silatulrahim
Sakaratul maut (sentiasa mengingati mat!)
Sunnah (hidupkan amalan sunnah)
Sederhana .

Tuesday, July 7, 2009

Saat Berpisah

Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Jika datangnya kita tidak diminta, maka perginya tidak diduga. Apabila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Apabila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji... tiba masanya pasti kembali!

Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
"Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan."
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman.
Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa.
Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita. Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma.
Allah memberikan kita terang ... untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap ... untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi. Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
"Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya."

Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza. Justeru, carilah apakah "kebijaksanaan" itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti.

Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut... katalah pada diri, apabila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi debu apabila berdepan dengan detik itu. Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan.

Ingatlah kata-kata ini:
"In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning."
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan - dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran - proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.

Ya, kalau sanggup datang, mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya ... syurga! Amin. •

Saturday, July 4, 2009



Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan solat suka saya senaraikan di sini beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh umat Islam dalam ibadah. Kesalahan tersebut walaupun yang tidak disengajakan, kalau tidak diperbetulkan akan menjadi kebiasaan yang sukar dibetulkan semula.
Oleh sebab itu perhatikan senarai kesalahan berikut:

Sebelum solat - dalam azan muazzin atau lebih dikenali sebagai bilal, mereka melakukan dua kesalahan secara tidak sedar. Walaupun tidak sedar, lafaz azan itu sudah tidak memberi makna dan maksud yang sebenar.

1. " Asy-hadu an la ilaha illah" - mungkin kerana mereka membacanya berdasarkan huruf rumi maka dibunyikan "Asyhadu" dengan assyadu.
Perkataan ini tidak memberi apa-apa makna dan tidak menepati lafaz syahadah yang wajib dibaca.

2. "Lailaha illallah" dipanjangkan "ha" pada perkataan "ilaha" menjadi ilahaa.
Perkataan ini juga tidak memberi apa-apa makna. Jadi, semua bilal dan orang yang hendak mengalunkan azan, eloklah membuat latihan menyebutnya agar tidak terus tersilap.
Ingatlah azan mengajak orang ramai kepada solat, tetapi kalau tersalah sebut, panggilan itu tidak dinilai oleh Allah.

Selain itu suka diingatkan juga bahawa, waktu untuk azan adalah ditentukan oleh muazzin manakala untuk melakukan solat hendaklah ditentukan oleh imam. Maka dalam hal ini bilal perlu memastikan iman bersedia dan mendapat keizinannya.


Waktu solat - terdapat beberapa orang susah hendak masuk niat untuk memulakan solat. Kadang-kadang dia terpaksa mengangkat takbir berkali-kali untuk membolehkan niatnya masuk pada waktu itu.
Sikap atau tabiat itu menjadi sebab terlambatnya dia mengikut imam. Padahal niat adalah kerja hati yang datangnya bagaikan angin lalu sahaja, tidak perlu mengambi masa yang panjang.

Mengikut hukum fiqah, apabila seseorang itu mengangkat takbir dengan niat yang betul,
takbir dan niat itu sudah diterima. Maka kalau dia mengulangi kali kedua, maka takbir kedua itu menyebabkan solatnya terbatal. Jadi, apabila dia meneruskan solat dengan takbir itu, solatnya tidak dikira oleh Allah. Oleh sebab itu dia perlu ulangi takbir dan niat baru, yang ketiga.

Selain itu takbiratul ihram iaitu dengan menyebut "Allahu Akbar". Lazim yang berlaku dalam kalangan umat Islam ialah mereka memanjangkan "baar" pada perkataan akbar.
Dengan memanjangkan "akbar" itu tidak lagi memberi makna "Allah Maha Besar".
Jadi berhati-hati menyebutnya.

Seterusnya dalam membaca surah al-fatihah, mereka terlalu sangat hendak membetulkan sebutan makhraj sehingga jadi berlebih-lebihan.
Antaranya ialah membaca "alhamdulillah" ditekankan bacaan pada alham sehingga berbunyi seperti alkham atau alhom.
Ini juga telah merosakkan makna al-Fatihah yang asal.


Semasa iktidal juga terdapat kesilapan menyebut pada membaca "samiallahu liman hamidah". Selalu juga kita dengar sesetengah orang membaca dengan memanjangkan bacaan haamidah.
Dengan memanjangkan perkataan pada "ha" memberi erti wanita yang memuji - isim fail muannas. Padahal yang asalnya "hamidah" ialah feil madhi yang memberi erti memuji-Nya.

Panduan ini penting untuk diamati supaya solat yang dikerjakan setiap hari dinilai oleh Allah dengan sebaiknya.

Serba sedikit yang dapat dikongsi bersama buat masa ini semoga solat kita hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam
- Wallahu a'lam -