LEPAK JAP AND TENANGKAN MINDA

Wednesday, June 22, 2011

Utamakan Allah atau Masalah?


Mengapa masalah belum juga selesai walaupun sudah benar-benar memohon pada Allah SWT?

Persoalannya mudah.
Apakah kita mengUTAMAKAN ALLAH SWT
atau kita mengutamakan masalah kita?

Bagaimana mengutamakan Allah?

Mari kita lihat dalam seluruh hidup kita ini. Kita selalu tidak menyedari Allah SWT sepanjang waktu ketika jiwa kita tenang dan bahagia. Kita bukanlah orang yang jahat. Kita solat 5 kali sehari. Cukup 5 waktu. Kita tidak melakukan zina. Tidak melakukan kejahatan yang lain.

Namun kita ini tetap lalai dalam menyedari Allah dalam banyak hal. Di dalam berpakaian kita. Di dalam hal sosial kita. Di dalam hal melakukan ibadah sehari-hari kita.

Ketika kita senang, kita tidak pedulikan Allah. Jarang kita meminta izin pada Allah dalam melakukan sesuatu. Bagi kita itu remeh dan perlukah ingin meminta izin daripada Allah di dalam melakukan apa jua hal.

Sebenarnya caranya mudah, cukup dengan membaca Bissmillahhirrahmanirrahim sebelum melakukan kerja. Maka kerja kita menjadi sebuah ibadah atas nama Allah SWT. Inilah tujuan kita dijadikan. Menjadi wakil Allah SWT di dalam memakmurkan alam ini.

Selalulah berterima kasih kepada Allah dalam apa jua hal. Tidak semestinya ketika mendapat sesuatu sahaja.

Lihatlah, sejauh mana kita cuba sedaya upaya mengikut kehendak Allah SWT.

Semua panduan hidup jelas ada di dalam Al-Quran dan Sunnah. Kita mungkin tidak mampu melakukan semuanya namun yang WAJIB tetap wajib dan yang HARAM tetap haram dan berdosa.

Sekarang ini ketika jiwa kita sempit kerana ada masalah, kita datang ke Allah. Apakah kita tidak malu pada Allah SWT?

Bagaimana ketika kita tidak mahu mendengar cakap ibu ayah kita, kita lawan perintah ibu ayah kita, kita lawan cakap ibu ayah kita, namun ketika kita memerlukan sesuatu daripada ibu ayah kita, kita datang dan memohon kepada mereka. Apakah kita tidak malu?

Namun ibu ayah tetap sayangkan anaknya. Walaupun degil, ketika anak datang kembali, mereka akan berikan kepada anak itu keperluan anak mereka. Biarlah anak itu melawan, mereka tetap anak yang dikasihi.

Kawan-kawan semua,

Allah SWT tetap menyayangi kita. Biarlah kita tidak mahu mengikut perintahNya, namun kita tidak akan dibiarkan melakukan hal yang serupa berterusan iaitu lupakanNya.

Allah SWT mengajar kita agar memahami ketika kita senang, kita lupakanNya dan ketika kita susah, kita datang kepadaNya... kita diajar agar untuk memiliki sesuatu, kita perlu datang benar-benar kepadaNya sehingga kita MENGUTAMAKANNYA lebih daripada yang lain termasuk masalah kita itu.

Inilah pengajaran Allah SWT kepada kita.

Utamakan Allah bermakna ikutlah perintah Allah sebenar2nya dalam seluruh hidup kita ini.

Lalu ketika kita ada masalah, kita tetap utamakan Allah lebih daripada apa pun jua termasuk masalah kita. Pasti kita akan terus menerima dan tidak lagi mengaturkan jalan penyelesaian sendiri dengan memohon agar diselesaikan tetapi permohonan kita adalah mohon diajarkan, dituntun dan diperkuatkan diri kita agar lebih mengutamakan Allah lebih daripada masalah kita sendiri.

Jika Allah ingin teruskan adakan masalah kita itu, kita tetap sabar menerima dan menempuhnya. Jika diselesaikan, itulah yang kita harapkan.

Ingatlah... Islam itu bukan diikuti dengan memilih yang mana kita suka tetapi seluruhnya kita perlu ikut Allah SWT kerana sememangnya kita memerlukan Allah SWT... Tuhan kita YANG BERKUASA, YANG MENGETAHUI segala-galanya kerana DIA YANG MENCIPTAKAN SEMUANYA TERMASUK DIRI KITA SENDIRI.

Utamakan Allah SWT di dalam apa jua hal. Barulah benar ia menjadi sebuah ibadah kepadaNya.

Bahagiakan dirimu.....


Kebahagiaan sejati ada apabila kita dapat melepaskan diri dari rasa takut, gelisah, bimbang, risau, derita, sedih atau ringkasnya dari rasa kekurangan. Kebahagiaan ini hanya mampu dimiliki hanya satu cara... YAKIN PADA ALLAH SWT kerana kita tahu Allah SWT yang mengaturkan segala-galanya. Sederhana... namun tidak mampu dicapai hanya dengan teori tanpa praktikal.

Saya sering memberitahu rakan-rakan di dalam Bengkel Jiwa Positif ... bahawa masalah utama kita adalah... KEYAKINAN PADA ALLAH. InshaAllah yakin pada kekuasaan Allah dan adanya Allah tiada masalah. Namun yakin pada kekuasaan Allah dan adanya Allah AMAT BERBEZA dengan yakin pada Allah SWT.

Islam mengajarkan kita agar sentiasa melepaskan diri dari mengharapkan kebahagiaan selain daripada Allah. Syahadah, solat, puasa, zakat dan haji merupakan jalan-jalan mudah yang mampu melepaskan diri daripada mengharapkan kepada yang lain untuk bahagia kecuali Allah.

Kita seringkali gagal untuk berasa bahagia kerana kita seringkali berfikir... kebahagiaan itu nanti setelah ini.. setelah itu. Kebahagiaan itu bukan NOW.. inilah yang selalu penuh di fikiran kita sehinggakan kita cukup payah untuk memiliki kebahagiaan itu sekarang.

Kita juga meletakkan kebahagiaan pada sesuatu selain Allah sehingga menjadi sebuah kepercayaan bahawa sesuatu itulah yang menentukan kebahagiaan. Kita mengejar sesuatu itu bukan kerana sebuah keperluan dalam hidup tetapi dengan tujuan untuk mendapatkan kebahagiaan. Kita ditipu dengan kepercayaan palsu.

Friday, June 17, 2011

Fikir-fikirkan...

Hidup ini timbal balik. Faham yang ini pasti kalau ada melakukan keburukan.. pasti cepat-cepat bertaubat pada Allah kerana balasan keburukan boleh datang bila-bila. InshaAllah atas rahmat Allah disebabkan taubat yang bersungguh mampu mengelakkan balasan ini. ya Allah... aku mohon ampun ya Allah. Aku menzalimi diriku sendiri ya Allah. Mohon keampunan dan rahmatMu ya Allah. Walaupun bukan balasan yang nampak dengan mata... jiwa yang gelisah disebabkan kesalahan melakukan keburukan, juga merupakan balasan malah ia lebih besar akibat dihantui dengan pelbagai rasa.Lalu... siapa lagi mampu membuang gelisah jiwa kita? Tiada siapa yang mampu malah diri kita juga tidak mampu KECUALI Allah SWT. Kita tidak diminta oleh Allah SWT untuk menjadi pengatur permainan tetapi hanya diminta oleh Allah SWT menjadi pemain yang terbaik. Pemain terbaik adalah pemain yang patuh pada perintah Yang Maha Mengaturkan.

Seseorang yang TIDAK TAHU sesuatu perkara namun dirinya SEDAR yang dia tidak tahu dikatakan JAHIL. Apabila dia belajar dan mengetahui lalu lepaslah dari kejahilan itu.

NAMUN seseorang yang TIDAK TAHU dan TIDAK SEDAR dirinya tidak tahu, dia tergolong dalam golongan JAHIL BERGANDA. Kejahilan berganda ini membawa seseorang itu kepada rasa RAGU-RAGU dan BIMBANG.

Saturday, June 4, 2011

IKHLAssss....


Seringkali pemahaman kita tentang ikhlas adalah melakukan sesuatu itu dalam keadaan hati yang rela dan benar-benar ingin melakukan.

Kita juga memahami ikhlas itu melakukan kerja kerana Allah SWT namun pemahaman yang pertama tadi yang selalunya menjadi rujukan kita ketika melakukan sesuatu kebaikan.

Selama ini kita memahami... untuk melakukan kebaikan perlu dilakukan dengan senang hati... rela... Jika tidak.. tidak guna melakukan sesuatu kerja itu walaupun kerja yang baik. Inilah pemahaman kita dengan sebuah keikhlasan.

Persoalannya berapa banyak kali hati kita benar-benar rela di dalam melakukan kebaikan walaupun kita cuba melakukan kerana Allah SWT?

Berapa banyak kali hati kita benar-benar mendirikan solat dengan benar-benar rela atau senang hati melakukan? Selalunya kerana solat itu sebuah kewajipan.

Berapa banyak kali hati kita benar-benar senang hati bersedekah walaupun dalam keadaan kita juga memerlukan?

Berapa banyak kali hati kita senang hati membantu orang lain dalam keadaan kita sibuk?

Selain dari itu, ikhlas juga difahami bahawa kerja yang dilakukan mestilah percuma. Seandainya kita menuntut bayaran atau ganjaran ke atas sesuatu kebaikan, maka kita dikatakan tidak ikhlas.

Seandainya begitu, maka semua orang tidak ikhlas kerana kerja kita dibayar upah gaji setiap bulan.

Ikhlas tidak bermakna percuma dan percuma belum tentu ikhlas.

Betulkan Kefahaman Kita Tentang Ikhlas.

Benar makna ikhlas adalah melakukan sesuatu itu kerana Allah SWT. Namun tidak ada dinyatakan bahawa ketika kita melakukan kerja, kita harus menunggu hati kita benar-benar senang hati melakukan.

Selalunya disebut... "kalau tak ikhlas, tak guna lakukan" seolah-olah rasa senang hati atau rela melakukan itu perlu ada dahulu barulah kita melakukan.

Dari segi realiti kehidupan, ikhlas ini adalah berapa kuatnya diri kita mampu melepaskan diri dari keterikatan yang menghalang untuk kita melakukan kebaikan.

Biarlah hati kita tidak senang... jasad kita terasa berat untuk melakukan, otak memikirkan pelbagai alasan.. namun kita tetap terus melakukan. Kita mampu melakukan dalam apa jua keadaan hati kerana kita faham apa yang kita lakukan kerana Allah SWT.

Inilah keikhlasan di mana melakukan sesuatu kerana Allah SWT walau dalam keadaan apa jua pun. BUKAN MENUNGGU HATI SENANG ATAU SELESA MELAKUKAN KEBAIKAN, BARULAH KITA MELAKUKAN dengan menyatakan.... "aku ikhlas".

"Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (At Taubah:41)

Firman Allah jelas menyatakan bahawa berangkat untuk berjihad dalam keadaan ringan atau pun berat. Bukan sahaja dalam keadaan ringan semata-mata, malah dalam keadaan berat pun perlu juga berjihad kerana yang utama kita berjihad kerana Allah SWT. Orang kata... kalau kita melakukan kerana Allah SWT pasti kita ikhlas. Ya benar. Namun hakikat ramai antara kita sekarang ini sekadar tahu. Kerana tidak menyedari akan Allah SWT maka walaupun tahu melakuan kerja kerana Allah namun di hati itu masih terasa beratnya. Kita bercerita dalam realiti kebanyakan kita hari ini.

Ubah Kefahaman Kita Selama Ini Tentang Ikhlas

Ikhlas di dalam melakukan kebaikan adalah melakukan kerana Allah.Namun realiti kita walaupun melakukan kebaikan kerana Allah namun hati masih berat. Melakukan kebaikan dengan ikhlas bukanlah melakukan kebaikan dengan senang hati semata-mata. Tingginya keikhlasan kita diukur sejauh mana kita berjaya melepaskan diri dari halangan dari melakukan kebaikan.

Seandainya kita banyak duit dan kita senang bersedekah, ikhlas kita tidaklah setinggi berbanding mereka yang kekurangan duit tapi tetap bersedekah. Mereka yang kekurangan duit lebih hebat halangannya dan golongan itu yang berjaya melepaskan diri dari keterikatan harta benda pasti lebih ikhlas.

Namun bagi yang banyak duit, tingginya ikhlas adalah bergantung sejauh mana nilai yang sanggup yang disedekahkan. Seandainya tinggi ikhlasnya, lagi banyak duit, lagi banyak yang disedekahkan. Kerana ujian kita adalah berapa kuatnya kita melepaskan diri dari keterikatan harta benda.

Namun kita seringkali dihalang dengan kata-kata... "banyak duit tapi tak ikhlas lebih baik dari sikit duit tapi ikhlas". Seandainya ikhlas.. tidak mungkin nilainya sedikit berbanding dengan duit yang kita ada. Ketika kita ingin membantu sahabat kita, bukanlah menunggu benar-benar kita senang hati ingin membantu. Namun bantulah ketika sahabat kita memerlukan bantuan.

Solat.. lakukan walaupun rasa berat. Kerana itu khusyuk di dalam solat adalah dinyatakan oleh Allah adalah sebuah keadaan bahawa kita yakin sedang bertemu Allah dan kembali kepadaNya. Kita perlu sabar walaupun rasa berat namun seandainya kita yakin sedang bertemu Allah, kita pasti akan berasa ringan.Tidak ada di katakan dirilah solat ketika hati senang. Solat wajib didirikan dalam keadaan hati samada senang atau tidak senang. Yang utama kerana Allah.

Maka kebaikan itu tidak perlu menunggu hati senang melakukan atau tidak atau dengan kefahaman kita selama ini, menunggu ikhlas dahulu baru lakukan. Salah faham makna ikhlas... kita mengatakan "kalau tak ikhlas.. tak guna buat baik".

Lakukan sahaja kebaikan tanpa mempedulikan samada rasa senang hati atau berat kerana rasa senang hati, kebahagiaan, lapang hati dan seumpanya PASTI akan diberikan Allah selepas kita berjaya melepaskan diri dari halangan untuk melakukan kebaikan.

Fahamilah bahawa melakukan sesuatu kerja dengan ikhlas BUKANLAH menunggu hati dalam keadaan senang melakukan barulah kita rasa kita ikhlas. Jika ini kefahaman kita, ternyata kita salah memahami erti keikhlasan. Maka lakukan kebaikan, inshaAllah pasti akan diikhlaskan Allah hati kita ini. Seandainya ingin menunggu kita ini ikhlas dahulu... entah berapa banyaklah agaknya kebaikan yang berjaya kita lakukan.

Melakukan kebaikan dalam keadaan tidak ikhlas adalah lebih baik berbanding langsung tidak melakukan kebaikan dengan alasan..."kalau tak ikhlas.. baik tak payah buat kebaikan". NAMUN terrrrrr amat RUGI seandainya melakukan kebaikan tetapi tidak ikhlas... tidak kerana Allah SWT.

Terima Kasih Ya ALLAH.....

Dan Dia telah memberikan kepadamu [keperluanmu] dari segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari [nikmat Allah].
(QS: Ibrahim, 14:34)

"Ya Allah ampuni hambaMu ini ya Allah seandainya tidak aku sedari, aku mengingkari nikmatMu ya Allah."
Demi
matahari dan cahayanya di pagi hari,
dan bulan apabila mengiringinya,

dan siang apabila menampakkannya,
dan malam apabila menutupinya

...
dan langit serta pembinaannya,
dan bumi serta penghamparannya,
dan jiwa serta penyempurnaannya,

Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaan.

Melakukan sesuatu "kerana Allah" itu jangan sekadar di bibir & direka2 di fikiran. Namun jangan pula kerana rasa "kerana Allah" tiada dalam hati, kita tidak melakukan kebaikan. Lakukan sahaja tetapi jangan lupa memohon pada Allah. "Ya Allah, aku mohon keampunan dariMu ya Allah. Hati aku ini tidak mampu melakukan keranaMu ya Allah walapun aku tahu. Ya Allah luruskan hatiku untuk melakukan kerja ini keranaMu ya Allah".
Buat baik tak perlu tunggu hati itu ikhlas. Lakukan sahaja krn ikhlas itu tidak semestinya di awal. Ketika kita melakukan, kita benar2 RASA keadaan berbuat baik itu. Ketika inilah kita berasa senang hati & menjadikan kita sangat rela, rela yang benar2 dari hati untuk melakukan kebaikan. Malahan lebih bersemangat.
dan manusia pun tidak mampu buat-buat ikhlas kerana ikhlas yang benar adalah ikhlas yang dikurniakan Allah. Yang utama.. lakukan sahaja kebaikan kerana sememangnya Allah memerintahkan untuk kita buat baik samada dalam keadaan ringan atau berat.

Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdo’a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia [kembali] melalui [jalannya yang sesat], seolah-olah dia tidak pernah berdo’a kepada Kami untuk [menghilangkan] bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.

Allahurabbi... ayat ini sentiasa terkena pada diriku ya Allah. Aku mohon atas rahmatMu ya Allah, agar Engkau mengampuni hambaMu ini ya Allah. Aku mohon agar diriku ini terus disedarkan kepadaMu dalam apa jua hal, setiap masa dan di mana saja aku berada ya Allah semoga aku menjadi hambaMu yang bersyukur ya Allah. Terima kasih ya Allah terima kasih.